Dahulu saya seorang yang tidak mengambil kisah soal agama. Alhamdulillah, sejak usia kian tua ini saya mula membaca terjemahan al-Quran pada setiap malam walaupun tidak berapa lancar membacanya dalam bahasa Arab.
Saya semakin mengagumi isi kandungan al-Quran. Semakin saya baca terjemahan al-Quran, semakin rasa kerdilnya diri ini.
Bolehkah saya memahami al-Quran dengan cara begitu dan adakah cara saya itu dikatakan tadabbur? Perlukah saya membeli buku tafsir untuk memahami al-Quran dengan lebih mendalam?
Tadabbur al-Quran adalah arahan daripada Allah SWT. Menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Maka apakah mereka tidak mentadabburkan al-Quran? Atau hati mereka terkunci.” (Surah Muhammad, ayat 24)
Maksud tadabbur adalah kita menghayati dan merenung sehingga meresap makna ayat al-Quran itu ke dalam hati.
Ia perkara yang disuruh oleh agama. Tadabbur berbeza dengan tafsir kerana tafsir menjelaskan maksud yang dikehendaki Allah SWT pada suatu ayat.
Tiada siapa yang layak mentafsirkan ayat al-Quran melainkan Rasulullah SAW kerana Baginda adalah al-Quran bergerak.
Mereka yang layak mentafsirkan al-Quran al-Karim adalah sahabat Baginda kerana mereka pernah hidup bersama Rasulullah SAW.
Seterusnya, murid sahabat Nabi yang mengambil ilmu daripada sumber yang asli.
Sampai kepada kita, semua tafsir al-Quran sudah terkumpul dan tersusun dalam kitab tafsir yang berjilid-jilid.
Tafsir ayat al-Quran itu adalah tafsir rasmi yang diambil daripada sumber asli iaitu Rasulullah SAW.
Pada hari ini, jika ada ustaz atau ustazah yang mentafsir ayat al-Quran, sebenarnya mereka bukan mentafsir tetapi membaca tafsir al-Quran daripada kitab tafsir berdasarkan riwayat sahih yang boleh dipertanggungjawabkan kebenarannya.
Untuk mentafsir al-Quran, seseorang itu perlu cukup ilmu seperti ilmu bahasa Arab, ilmu tafsir, ilmu usul fiqh, nasikh mansukh dan lain-lain lagi yang membawa kepada keupayaan menjelaskan maksud ayat Allah SWT di dalam al-Quran.
Sudah tentu perkara itu bukan semua orang mampu melakukannya. Tidak seperti tadabbur iaitu mengambil pelajaran dan penghayatan daripada terjemahan al-Quran al-Karim.
Pada masa kini, terjemahan al-Quran dimasukkan sekali tafsir ayat untuk mudah difahami masyarakat.
Dengan cara bertadabbur, ia dapat mengkiaskan pengajaran itu terhadap kehidupan manusia secara peribadi atau masyarakat.
Tadabbur adalah maksud terbesar daripada tafsir kerana banyak ayat al-Quran menyuruh manusia mengambil pengajaran dan mematuhi arahan Allah SWT.
Seseorang itu tidak boleh sama sekali mentafsir sendiri ayat al-Quran berdasarkan pemikirannya atau apa yang terlintas di kepalanya.
Ia hendaklah merujuk kepada kitab tafsir yang muktamad untuk mengetahui maksud sebenar sesuatu ayat itu.
Antara kitab tafsir yang patut menjadi rujukan ialah Kitab Tafsir Ibn Kathir dan Tafsir al-Munir.
Saya mencadangkan supaya anda memiliki sebuah Kitab Tafsir Ibnu Kathir yang kini sudah ada terjemahannya dalam bahasa Melayu sekiranya tidak mampu menguasai bahasa Arab.
Sekiranya tidak merujuk dan hanya berdasarkan pemahaman saja, maka siapa yang akan bertanggungjawab dengan kebenaran hasil pemahaman itu?
Tadabbur tidak akan terhasil melainkan selepas mengetahui tafsirnya. Pengetahuan yang benar daripada tafsir akan memberi kesan kepada tadabburnya.
Tafsir ayat yang dilakukan oleh golongan mufassirin di dalam kitab tafsir termasuk juga apa yang terhasil daripada tadabbur mereka sendiri.
Penulis ialah pendakwah