Belajar Mengaji Al-Quran sudah tentu mempunyai cabaran. Apakah halangan yang biasa dihadapi oleh orang dewasa dalam belajar mengaji Al Quran sehingga membuatkan diri rasa berputus asa untuk terus belajar?
Hakikatnya, setiap perkara yang dilakukan dalam dunia ini pastinya terdapat kekangan atau halangan yang menanti di hadapan. Namun, kita perlu lebih bijak dalam menghadapi situasi kerana tiada masalah yang tiada jalan penyelesaiannya.
Disini disenaraikan masalah-masalah yang biasa dihadapi oleh orang dewasa sewaktu ingin mula belajar mengaji Al Quran, serta cara menanganinya.
1) Malu tidak bertempat
Malu merupakan sifat yang dipuji oleh Nabi Muhammad s.a.w. Akan tetapi sifat malu tersebut perlulah diletakkan pada tempat yang sepatutnya. Untuk mempelajari ilmu agama khususnya dalam belajar mengaji Al Quran, individu hendaklah buang rasa malu supaya tidak berasa kekok atau segan untuk belajar bersama kawan-kawan yang lain.
Tidak dapat dinafikan ada individu yang datang ke kelas dengan perasaan malu yang tinggi kerana merasakan diri sudah terlalu tua, usia sudah lanjut, sedangkan pelajar lain masih lagi muda. Jika berlaku situasi sebegini, kita kena ingat bahawa semua yang datang ke kelas adalah orang yang baru nak belajar. Semuanya berada di tahap yang sama.
Jadi, faktor malu dengan usia ini bukanlah satu isu besar untuk meletakkan diri dalam perasaan malu yang berterusan. Bila kita mula itu tidak terlalu penting. Yang paling penting bagaimana dengan pengakhiran kita nanti.
2) Kurang faham dengan apa yang dipelajari
Kefahaman adalah suatu nikmat yang paling mahal dikurniakan oleh Allah kepada manusia. Kerana tidak semua orang diberikan kefahaman yang tinggi dalam setiap bidang yang dipelajari, terutamanya dalam bidang agama. Sebab itulah kita diajarkan untuk sentiasa berdoa,
“اللَّهُمَّ فَقِّهْنّا فِي الدِّينِ وَعَلِّمنَا التَّأْوِيلَ”
“Ya Allah, berikanlah kami kefahaman dalam ilmu agama, dan ajarkan kami tentang ilmu ta’wil”
Doa merupakan tawakkal kita dengan Allah. Tapi sebelum bertawakkal, hendaklah berusaha terlebih dahulu. Pernah tak kita fikir apakah usaha kita untuk faham apa yang dipelajari?
Ramai yang takut atau segan untuk bertanya bila tidak faham apa yang dipelajari. Sepatutnya, pelajar perlu ada interaksi dengan guru di dalam kelas. Selain dapat meraih kefahaman, dapat juga mencipta hubungan baik antara pelajar dengan guru itu sendiri.
3) Tak sabar untuk cepat baca Al Quran
Untuk mendapatkan sesuatu yang berharga, perlukan pengorbanan. Tidak kiralah pengorbanan tersebut dalam bentuk harta atau masa. Samalah juga dalam situasi belajar mengaji Al Quran, ia memerlukan sedikit masa untuk betul-betul mahir dan mantap dalam bacaan.
Tidak ada manusia yang dilahirkan terus boleh berjalan dan berlari-lari, bahkan ia perlukan masa untuk melalui setiap tahap perkembangan tersebut. Kita perlu tanamkan sifat sabar di dalam diri.
Bukankan sabar itu separuh daripada iman? Indahnya sabar apabila kita telah mencapai natijah setelah menahan sabar.
4) Tak istiqamah datang kelas
Istiqamah adalah benda yang paling susah untuk diamalkan. Cakap memang senang, tapi nak buat memang susah.
Apabila terdetik di hati ingin berbuat kebaikan, hendaklah datangkan niat yang ikhlas kerana Allah. Dahulukan pandangan Allah terhadap diri kita berbanding pandangan manusia, kerana dibimbangi amalan baik kita tersebut disulami dengan perasaan riya’ dan ‘ujub.
Perlu diingat, syaitan akan sentiasa menghalang manusia untuk berbuat kebaikan. Jadi, keikhlasan yang tinggi itulah akan memadamkan segala halangan tersebut. Jika kita lemah, maka kita akan terus dihalangi rintangan angkara syaitan.
5) Kelas mengaji jauh & tidak sesuai dengan waktu kerja
Zaman sekarang adalah zaman teknologi, seolah-olah dunia di hujung jari. Segala kemudahan terpampang di telefon pintar, computer riba, atau seumpamanya.
Dengan kemudahan yang tersedia ada ini, kita boleh cari tempat mengaji yang paling hampir dengan tempat kediaman atau tempat kerja. Tambahan lagi, sejak akhir-akhir ini tempat belajar mengaji Al Quran semakin banyak, bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Yang paling penting, buang sikap malas yang sering menghantui diri.
Tidak dapat dinafikan terdapat juga antara kita yang bekerja tidak mengikut waktu kerja. Jadi, masa untuk datang ke kelas agak terhad. Sekali lagi diingatkan bahawa kita berada di zaman teknologi. Sememangnya telah wujud sesi pembelajaran di atas talian, untuk memudahkan orang-orang yang bekerja di luar waktu kerja.
6) Hanya tahu nak khatam walaupun tak tahu hukum tajwid
Adakah kita masih berbangga dengan kekerapan khatamkan Al Quran, sedangkan bacaan tunggang-langgang, dan hukum tajwid langsung tidak tahu?
Kita semua perlu sedar bahawa hukum membaca Al Quran adalah Fardhu Kifayah. Sedangkan membaca Al Quran dengan bertajwid hukumnya Fardhu Ain. Kesimpulannya, nak baca Al Quran mestilah bertajwid.
Hal ini bukan bermakna kita tidak pentingkan kekerapan khatamkan Al-Quran. Akan tetapi perlulah diiringi dengan bacaan yang sempurna dan tahu segala hukum-hukum tajwid.
7) Rasa tidak penting untuk belajar Al Quran
Kebiaasaannya perasaan sebegini dicampakkan oleh syaitan kepada orang-orang yang memang tiada asas dalam bacaan Al Quran. Tapi tidak kurang juga kepada orang yang dah tahu asas bacaan.
Baiklah, apakah tujuan sebenar Al Quran diturunkan?
Sudah pasti ia sebagai pedoman bagi umat Islam sejagat. Kalau Al Quran pun tak baca, macam mana nak amalkan apa yang terkandung di dalam Al Quran?
Kalau sebut pasal pahala, memang terlalu banyak hadis-hadis yang menceritakan tentang kelebihan kepada pembaca Al Quran. Sehinggakan terdapat mafhum hadis yang menyebut tentang setiap huruf yang dibaca diberikan ganjaran 10 pahala.
Semoga perkongsian ini bermenfaat. Jadi saranan saya, jangan cari alasan untuk tidak belajar, tetapi carilah jalan untuk belajar mengaji Al-Quran.